Sunday 14 October 2018

"OPEM OH OPEM"

Salam Sejahtera.

     Tajuk entri hari ini agak janggal bunyinya bagi sesiapa yang tidak biasa atau jarang menggunakan istilah ini. Apa itu Opem sebenarnya? Kenapa Opem menjadi tajuk entri pada kali ini?

   Opem merupakan singkatan untuk objektif pembelajaran. Pernah tak kita terfikir kenapa Opem  dan bukannya Open (yang admin rujuk sebagai objektif pengajaran)? Apa bezanya Opem dan OpenOpem merujuk kepada apa yang perlu dicapai murid, manakala Open merujuk kepada apa yang perlu dicapai guru dalam sesuatu masa pembelajaran. Sudah tentu, kedua-duanya berkait rapat tetapi sama ada sedar atau tidak, setiap istilah itu mempunyai aplikasi dan implikasi yang berbeza. Apabila Opem digunapakai dalam sesuatu proses pembelajaran, pendekatan kepada murid itu menjadi matlamat, apa yang murid capai dalam masa tiga puluh minit atau enam puluh minit ataupun sembilan puluh minit. Sementara itu, apabila Open yang menjadi keutamaan, pengajaran guru yang menjadi ukuran. Pemahaman tentang kedua-dua istilah ini perlu jelas supaya tidak berlaku kekeliruan.

     Opem perlu realistik, bergantung kepada kebolehupayaan sesuatu kumpulan murid itu. Dalam usaha untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan, perancangan untuk Opem perlu sentiasa "berpijak di bumi yang nyata" dan dalam masa yang sama perlu juga "menggapai bintang di langit". Sekiranya kumpulan yang memerlukan langkah yang pendek, maka Opem perlu mengambil kira keupayaan mereka melangkah dan dalam masa yang sama membantu mereka berlari-lari anak. Bagi kumpulan yang langkahnya memang sudah panjang, mungkin Opem perlu mengambil kira kelebihan mereka berlari pecut dan mungkin juga melompat lebih tinggi. Oleh sebab perbezaan yang ada, maka wajarlah Opem dirancang dengan memberikan penekanan kepada pembelajaran terbeza (differentiated learning).


Sumber: https://mazipanneh.wordpress.com/2014/05/14/keadilan-bukan-sama-rata/

      Opem boleh didapati dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Kebiasaannya ditulis tangan di dalam buku rekod mengajar (BRM), tetapi ada juga guru yang memilih menggunakan komputer untuk menaip, mencetak, dan memfailkan. Walau bagaimana bentuk penulisan pun, apa yang penting Opem perlu ada di situ dan perlu dirancang dengan teliti sebelum sesuatu pembelajaran berlaku. Opem ini bolehlah digambarkan seperti jantung kepada sesuatu RPH. Opem yang kuat dan sihat akan memberikan impak yang positif kepada keseluruhan perjalanan sesuatu pembelajaran itu.



Opem Jantung RPH
(Sumber: http://www.syahidashukri.com/9-senaman-untuk-jantung-yang-sihat/)

     Melalui pendekatan pembelajaran abad ke-21 (PAK 21), guru-guru disaran untuk menulis Opem  di papan putih atau hijau atau hitam.  "Kenapa perlu tulis?", "Nak tulis kat mana?" Soalan-soalan seperti itu seringkali diajukan untuk mengetahui sebab dan musabab kepada keperluan menulis Opem  di papan. Ada benarnya juga dengan pernyataan yang kerap didengari, "Dulu tak payah tulis pun, budak berjaya juga." Pendidikan merupakan sesuatu yang dinamik dan progresif. Ini membawa maksud, pendidikan sentiasa melalui proses perubahan untuk penambahbaikan.


     Secara logiknya, apabila Opem  dikongsi dengan murid sebelum kelas bermula, murid mempunyai kesediaan untuk belajar pada hari itu. Seolah-olah satu 'memorandum of understanding' (MoU) telah terjalin dengan kedua-dua pihak bersetuju tentang apa yang perlu dicapai. Selain itu, ia boleh menjadi satu peringatan kepada guru tentang apa yang perlu dicapai pada hari itu. Guru juga perlu membaca dan menerangkan Opem kepada murid supaya difahami dan bukan sekadar kosmetik PAK21. Cara penulisan Opem di papan juga sedikit berbeza daripada apa yang biasa ditulis oleh cikgu dalam BRM supaya mudah difahami oleh murid.  Contohnya, penggunaan ayat seperti "Kita akan mempelajari......." 
https://www.slideshare.net/benoconnell106/learning-objectives-success-criteria-inset
   Senario yang biasa ditemukan di sekolah apabila seseorang pelawat menegur dan bertanya kepada murid tentang apa yang dipelajari oleh mereka pada hari tersebut, murid mungkin tidak dapat mengingati dan menyatakannya dengan jelas. Dengan adanya Opem di papan tulis, murid dapat membuat perkongsian dengan yakin dan teratur. 

    Semoga perkongsian kali ini dapat membantu rakan-rakan guru dalam proses PdPc. Insya-Allah, dalam entri yang akan datang, perkongsian tentang Kriteria Kejayaan (KK) akan dibuat. Semoga media sosial ini menjadi platform untuk kita sama-sama menambah dan memperkukuh pengetahuan. Terima kasih.
     
#sharingiscaring
#caringisloving
#pendidikanitudinamik
#pendidikanituprogresif

Catatan diedit oleh: Haji Zakaria Ibrahim

2 comments: