Sunday 14 October 2018

"OPEM OH OPEM"

Salam Sejahtera.

     Tajuk entri hari ini agak janggal bunyinya bagi sesiapa yang tidak biasa atau jarang menggunakan istilah ini. Apa itu Opem sebenarnya? Kenapa Opem menjadi tajuk entri pada kali ini?

   Opem merupakan singkatan untuk objektif pembelajaran. Pernah tak kita terfikir kenapa Opem  dan bukannya Open (yang admin rujuk sebagai objektif pengajaran)? Apa bezanya Opem dan OpenOpem merujuk kepada apa yang perlu dicapai murid, manakala Open merujuk kepada apa yang perlu dicapai guru dalam sesuatu masa pembelajaran. Sudah tentu, kedua-duanya berkait rapat tetapi sama ada sedar atau tidak, setiap istilah itu mempunyai aplikasi dan implikasi yang berbeza. Apabila Opem digunapakai dalam sesuatu proses pembelajaran, pendekatan kepada murid itu menjadi matlamat, apa yang murid capai dalam masa tiga puluh minit atau enam puluh minit ataupun sembilan puluh minit. Sementara itu, apabila Open yang menjadi keutamaan, pengajaran guru yang menjadi ukuran. Pemahaman tentang kedua-dua istilah ini perlu jelas supaya tidak berlaku kekeliruan.

     Opem perlu realistik, bergantung kepada kebolehupayaan sesuatu kumpulan murid itu. Dalam usaha untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan, perancangan untuk Opem perlu sentiasa "berpijak di bumi yang nyata" dan dalam masa yang sama perlu juga "menggapai bintang di langit". Sekiranya kumpulan yang memerlukan langkah yang pendek, maka Opem perlu mengambil kira keupayaan mereka melangkah dan dalam masa yang sama membantu mereka berlari-lari anak. Bagi kumpulan yang langkahnya memang sudah panjang, mungkin Opem perlu mengambil kira kelebihan mereka berlari pecut dan mungkin juga melompat lebih tinggi. Oleh sebab perbezaan yang ada, maka wajarlah Opem dirancang dengan memberikan penekanan kepada pembelajaran terbeza (differentiated learning).


Sumber: https://mazipanneh.wordpress.com/2014/05/14/keadilan-bukan-sama-rata/

      Opem boleh didapati dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Kebiasaannya ditulis tangan di dalam buku rekod mengajar (BRM), tetapi ada juga guru yang memilih menggunakan komputer untuk menaip, mencetak, dan memfailkan. Walau bagaimana bentuk penulisan pun, apa yang penting Opem perlu ada di situ dan perlu dirancang dengan teliti sebelum sesuatu pembelajaran berlaku. Opem ini bolehlah digambarkan seperti jantung kepada sesuatu RPH. Opem yang kuat dan sihat akan memberikan impak yang positif kepada keseluruhan perjalanan sesuatu pembelajaran itu.



Opem Jantung RPH
(Sumber: http://www.syahidashukri.com/9-senaman-untuk-jantung-yang-sihat/)

     Melalui pendekatan pembelajaran abad ke-21 (PAK 21), guru-guru disaran untuk menulis Opem  di papan putih atau hijau atau hitam.  "Kenapa perlu tulis?", "Nak tulis kat mana?" Soalan-soalan seperti itu seringkali diajukan untuk mengetahui sebab dan musabab kepada keperluan menulis Opem  di papan. Ada benarnya juga dengan pernyataan yang kerap didengari, "Dulu tak payah tulis pun, budak berjaya juga." Pendidikan merupakan sesuatu yang dinamik dan progresif. Ini membawa maksud, pendidikan sentiasa melalui proses perubahan untuk penambahbaikan.


     Secara logiknya, apabila Opem  dikongsi dengan murid sebelum kelas bermula, murid mempunyai kesediaan untuk belajar pada hari itu. Seolah-olah satu 'memorandum of understanding' (MoU) telah terjalin dengan kedua-dua pihak bersetuju tentang apa yang perlu dicapai. Selain itu, ia boleh menjadi satu peringatan kepada guru tentang apa yang perlu dicapai pada hari itu. Guru juga perlu membaca dan menerangkan Opem kepada murid supaya difahami dan bukan sekadar kosmetik PAK21. Cara penulisan Opem di papan juga sedikit berbeza daripada apa yang biasa ditulis oleh cikgu dalam BRM supaya mudah difahami oleh murid.  Contohnya, penggunaan ayat seperti "Kita akan mempelajari......." 
https://www.slideshare.net/benoconnell106/learning-objectives-success-criteria-inset
   Senario yang biasa ditemukan di sekolah apabila seseorang pelawat menegur dan bertanya kepada murid tentang apa yang dipelajari oleh mereka pada hari tersebut, murid mungkin tidak dapat mengingati dan menyatakannya dengan jelas. Dengan adanya Opem di papan tulis, murid dapat membuat perkongsian dengan yakin dan teratur. 

    Semoga perkongsian kali ini dapat membantu rakan-rakan guru dalam proses PdPc. Insya-Allah, dalam entri yang akan datang, perkongsian tentang Kriteria Kejayaan (KK) akan dibuat. Semoga media sosial ini menjadi platform untuk kita sama-sama menambah dan memperkukuh pengetahuan. Terima kasih.
     
#sharingiscaring
#caringisloving
#pendidikanitudinamik
#pendidikanituprogresif

Catatan diedit oleh: Haji Zakaria Ibrahim

Thursday 4 October 2018

ANTARA BEBANAN DAN TANGGUNGJAWAB

     Tugas guru di sekolah semakin hari semakin mencabar.  Cabaran guru pada hari ini tidak sama dengan cabaran guru pada masa lalu. Cabaran guru di bandar tidak sama dengan cabaran guru di pedalaman. Cabaran guru di sekolah rendah tidak sama dengan cabaran guru di sekolah menengah. Cabaran guru di kelas peperiksaan tidak sama dengan cabaran guru di kelas aliran yang biasa. Meskipun berbeza cabaran, ianya tetap cabaran sama ada kecil atau besar. Apabila cabaran dilihat sebagai masalah, ia akan menjadi bebanan tetapi sekiranya cabaran itu dilihat sebagai tanggungjawab, ia akan menjadi peluang. 
Sumber: https://www.socialsamosa.com/2017/03/biggest-influencer-marketing-challenges/

Tuan Idris bin Bidin, PPD Kemaman
     Admin ingin berkongsi intipati ucapan Tuan Idris bin Bidin, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman semasa merasmikan Kursus Continuing Professional Development (CPD) Program SISC+ - Pembelajaran Terbeza #movingforward Tahun 2018 dari 26 hingga 28 Jun 2018 di Intan Wilayah timur (INTIM), Kemaman. Beliau melahirkan rasa kebimbangan tentang ketidakfahaman yang belaku di kalangan guru tentang perbezaan antara bebanan dan tanggungjawab.  Kekeliruan tentang yang mana satu bebanan dan yang mana satu tanggungjawab menyebabkan tanggungjawab dianggap bebanan.

     Apabila setiap kali berbicara tentang Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), sebilangan besar guru sering rasa tercabar kerana berasa PAK21 adalah sesuatu yang baharu. Pernah juga admin mendengar keluhan rakan bukan guru yang bersimpati dengan guru di sekolah, "Banyak cikgu-cikgu kat sekolah kena buat sekarang ni,  nak habiskan sukatan pelajaran, nak tumpu kelas peperiksaan, nak kena ajar PAK21 lagi...." Sebenarnya rakan admin ini menunjukkan rasa simpati beliau terhadap guru di sekolah yang pada pandangan beliau dibebani dengan tugas baharu iaitu mengajar PAK21. Sekali lagi persoalan bebanan dan tanggungjawab menjadi topik perbincangan dan perbualan.

     
PAK21 di SK Kubang Ikan
PAK21 ini bukanlah satu subjek baharu yang perlu guru mengajar di kelas. Ia merupakan amalan yang telah lama dipraktik guru, cuma perlu ditambah baik bagi memenuhi tuntutan masa hadapan. Ia merangkumi 4K dan 1N yang mana 4K itu merujuk kepada komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif, manakala 1N pula merujuk kepada nilai dan etika. Sebenarnya elemen tersebut bukanlah sesuatu yang asing dalam kerja buat guru di sekolah, cuma dalam PAK21 ini penekanan terhadap elemen-elemen ini disarankan digunakan secara meluas dan menyeluruh.

     Persoalan yang seterusnya, bila dan bagaimana menggunakan elemen 4K dan 1N dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap kali admin ke sekolah untuk bertemu dengan guru-guru, admin selalu berkongsi tentang bila dan bagaimana 4K dan 1N ini boleh memaksimakan pembelajaran murid. Melalui aktiviti, murid berpeluang untuk berkomunikasi, berkolaboratif, dan berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan tugasan. Dalam dalam usaha menyelesaikan tugasan, murid perlu selalu diingatkan tentang nilai dan etika yang perlu diutamakan. Akhirnya, mereka bukan sahaja berilmu, berani, bertoleransi malah melahirkan generasi yang berprinsip. Admin bercadang untuk terus membuat perkongsian seperti itu di sini pada paparan-paparan yang akan datang sebagai satu bentuk perkongsian untuk menambah baik pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di bilik darjah. 
Sumber: https://eslkidsgames.com/wp-content/uploads/2013/10/Teacher-quotes-the-future.jpg
     Perancangan yang baik akan memperlihatkan hasil yang baik. Pepatah Inggeris ada menyatakan "If you fail to plan, you plan to fail", yang membawa maksud, sekiranya kita gagal merancang, kita sebenarnya merancang untuk gagal. Oleh sebab itu, guru disarankan untuk merancang PdPc mereka sehari sebelum hari kejadian. Apa yang perlu dilakukan ialah perancangan yang baik, yang merangkum objektif pembelajaran (OPEM) dan kriteria kejayaan (KK), aktiviti-aktiviti yang mengambilkira pembezaan, pengajaran yang berasaskan aktiviti yang berpusatkan murid, pentaksiran lisan dan penulisan yang akan akan dibuat dalam kelas, dan juga membuat refleksi kepada PdPc yang sebelum ini supaya boleh dibuat penambahbaikan dari segi strategi, pendekatan, kaedah atau teknik.  Perancangan perlu realistik dan pengurusan masa perlu diambilkira supaya pengajaran menjadi berkesan dan bermakna. Seorang rakan Ph.D. admin berkongsi pendapat berkenaan pegurusan masa, "you have to be a good self manager, then only you can be a good time manager", ini membawa maksud sekiranya kita boleh mengurus diri kita dengan baik, maka kita dapat mengurus masa dengan yang baik. Segalanya bermula dengan diri, ini pesanan untuk diri admin juga.

Terima kasih.

#sharingiscaring
#caringisloving

Tuesday 2 October 2018

APA SALAHNYA "CHALK AND TALK"?

     "Apa salahnya "chalk and talk" dalam pengajaran dan pembelajaran?  Persoalan yang sering diajukan oleh guru-guru apabila berbicara tentang Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21).
     Sebenarnya "chalk and talk" itu tidak salah sekiranya guru-guru memilih untuk menggunakan kaedah tersebut tetapi apa yang perlu mereka tahu adalah bagaimana cara "chalk and talk" itu  digunakan dalam abad ini. Sebelum mengulas lanjut perihal "chalk and talk" ini, adalah lebih baik untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan "chalk and talk".
     
Sumber: https://www.collinsdictionary.com/dictionary/english/chalk-and-talk

     Definisi "chalk and talk" seperti di atas menjelaskan bahawa ia merupakan satu kaedah yang formal dalam proses pengajaran yang tumpuannya kepada papan hitam dan suara guru. Menurut definisi itu juga, ia bertentangan dengan aktiviti yang berpusatkan murid.
    Semasa sesi perbincangan bersama Rektor UIAM, Prof. Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak pada 23 Ogos 2018 yang lalu di pejabat beliau, apabila ditanya tentang kaedah "chalk and talk" ini, beliau memberi satu perspektif yang baharu.  Beliau berpendapat kaedah itu sangat relevan dengan PAK 21. 


Perkongsian oleh Prof. Tan Sri Dato' Dzulikfli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

     Jika sebelum ini, "chalk and talk" dikaitkan dengan papan hitam dan suara guru, sekarang ini "chalk and talk" itu perlu berubah posisinya. Papan hitam sudah bertukar menjadi papan putih dikebanyakan sekolah, dan sudah ada juga papan yang berbentuk maya. "Marker pen" sudah mengambil tempat kapur-kapur yang pernah memutih tangan dan pada kain atau seluar biru murid. Rentetan perubahan yang berlaku pada abad ini, maka suara yang "besar" itu juga perlu bertukar kepada suara yang "kecil" iaitu suara murid. Guru perlu berada di belakang sedangkan murid perlu berada di hadapan.  Hatta, mereka perlu mendominasi pada setiap masa. Secara automatiknya, pembelajaran berasaskan aktiviti yang berpusatkan murid akan berlaku. Pengajaran dan pembelajaran (PdP) telah sedikit demi sedikit memberi ruang kepada Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Ini membawa maksud guru memudahcara kepada pembelajaran murid.  

Monday 1 October 2018

GURU SEBAGAI PELAJAR SEPANJANG HAYAT

  
  Guru sebagai pelajar sepanjang hayat merupakan satu ungkapan yang perlu "diterap" dan "diserap" oleh setiap individu yang bernama guru. Setiap hari dunia pendidikan berhadapan dengan cabaran yang memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi cabaran yang menuntut guru untuk lebih kreatif dan inovatif. Oleh yang demikian, pembelajaran bukan terhad kepada pelajar-pelajar di sekolah sahaja, namun konsep ini perlu diperluas kepada golongan guru. Guru perlu memahami apa itu PLC dan mendalami ilmu-ilmu untuk merealisasikan PLC dalam kerja buat mereka

 Komuniti bermaksud kumpulan individu yang mempunyai sifat-sifat kecenderungan dan kepentingan yang serupa. Contohnya, komuniti akademik, komuniti ilmuan. Pembelajaran pula merupakan proses atau kegiatan belajar. Profesional merujuk kepada apa-apa sahaja yang berkaitan dengan bidang profesion dan dalam konteks kita, ia merujuk kepada bidang pendidikan. Profesional itu sendiri mestilah berasaskan kemampuan atau kemahiran yang khusus untuk melakukannya, dengan cekap dan teratur seta memperlihatkan kemahiran tertentu. Profesional juga dikaitkan dengan individu yang mengamalkan keranan pengetahuan, kepakaran, dan kemahirannya dalam  sesuatu bidang profesion


Oleh yang demikian, Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) merupakan elemen penting yang pelru diberikan penekanan oleh pihak pentadbir dan guru-guru. PLC ini merupakan kaedah perkongsian pembelajaran bersama ahli komuniti bagi tujuan meningkatkan keberkesanan proses PdPc.

e-PLC PPD KUALA TERENGGANU @ Edmodo.com

Salam sejahtera,

  Edmodo adalah satu sistem pengurusan pembelajaran (Learning Management System) yang telah digunakan secara meluas di seluruh dunia. Satu platform yang membenarkan guru-guru berkolaboratif sebagai satu cara untuk meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Perkongsian tentang e-plcppdkt.blogspot.com telah dibuat di Edmodo bagi tujuan mempromosikan PLC pada semua peringkat, bukan sahaja di peringkat daerah tetapi ke seluruh dunia pendidikan tanpa menjadikan bahasa sebagai satu kekangan untuk berada di kalangan penutur Bahasa Inggeris. Dengan cara ini, secara tidak langsung meletakkan Bahasa Melayu di mata dunia .... 




Thursday 27 September 2018

PROFESSIONAL LEARNING COMMUNITY (KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESSIONAL)

Amalan PLC amat diberikan penekanan oleh Pegawai Pendidikan Daerah kerana amalan ini telah menyokong pembelajaran sepanjang hayat yang menerapkan amalan kolaboratif di semua peringkat. Hal ini selari dengan pendapat DuFour (2007) dan DuFour & Easker (2009) yang menjelaskan bahawa PLC menitikberatkan pembelajaran kepada semua yang  mengamalkan kolaboratif dan kebertanggungjawaban terhadap hasilnya.

Sebagai ketua di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, beliau telah menerajui kefahaman tentang keperluan untuk merealisasikan idea-idea yang besar dalam PLC dan bertepatan dengan moto Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu iaitu ”PPDKT Peneraju Kecemerlangan Pendidikan.” Moto yang dicipta ini jelas berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan pendidikan yang berterusan bagi perkembangan individu secara holistik, harmonis, dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu melihat FPK sebagai saru rujukan yang tepat untuk melahirkan insan yang berilmu, berketerampilan, berakhlak, dan bertanggungjawab bagi membentuk keharmonian dan kemakmuran sejagat.

Amalan Professional Learning Community antara Haji Jelani bin Sulong, PPDKT 
dengan Pegawai SISC+

Catatan diedit oleh: 
Haji Shukri Ismail, Haji Zakaria Ibrahim, Haji Mohd Yusof Sulaiman dan Haji Sabudin bin Ahmad