Thursday 4 October 2018

ANTARA BEBANAN DAN TANGGUNGJAWAB

     Tugas guru di sekolah semakin hari semakin mencabar.  Cabaran guru pada hari ini tidak sama dengan cabaran guru pada masa lalu. Cabaran guru di bandar tidak sama dengan cabaran guru di pedalaman. Cabaran guru di sekolah rendah tidak sama dengan cabaran guru di sekolah menengah. Cabaran guru di kelas peperiksaan tidak sama dengan cabaran guru di kelas aliran yang biasa. Meskipun berbeza cabaran, ianya tetap cabaran sama ada kecil atau besar. Apabila cabaran dilihat sebagai masalah, ia akan menjadi bebanan tetapi sekiranya cabaran itu dilihat sebagai tanggungjawab, ia akan menjadi peluang. 
Sumber: https://www.socialsamosa.com/2017/03/biggest-influencer-marketing-challenges/

Tuan Idris bin Bidin, PPD Kemaman
     Admin ingin berkongsi intipati ucapan Tuan Idris bin Bidin, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman semasa merasmikan Kursus Continuing Professional Development (CPD) Program SISC+ - Pembelajaran Terbeza #movingforward Tahun 2018 dari 26 hingga 28 Jun 2018 di Intan Wilayah timur (INTIM), Kemaman. Beliau melahirkan rasa kebimbangan tentang ketidakfahaman yang belaku di kalangan guru tentang perbezaan antara bebanan dan tanggungjawab.  Kekeliruan tentang yang mana satu bebanan dan yang mana satu tanggungjawab menyebabkan tanggungjawab dianggap bebanan.

     Apabila setiap kali berbicara tentang Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), sebilangan besar guru sering rasa tercabar kerana berasa PAK21 adalah sesuatu yang baharu. Pernah juga admin mendengar keluhan rakan bukan guru yang bersimpati dengan guru di sekolah, "Banyak cikgu-cikgu kat sekolah kena buat sekarang ni,  nak habiskan sukatan pelajaran, nak tumpu kelas peperiksaan, nak kena ajar PAK21 lagi...." Sebenarnya rakan admin ini menunjukkan rasa simpati beliau terhadap guru di sekolah yang pada pandangan beliau dibebani dengan tugas baharu iaitu mengajar PAK21. Sekali lagi persoalan bebanan dan tanggungjawab menjadi topik perbincangan dan perbualan.

     
PAK21 di SK Kubang Ikan
PAK21 ini bukanlah satu subjek baharu yang perlu guru mengajar di kelas. Ia merupakan amalan yang telah lama dipraktik guru, cuma perlu ditambah baik bagi memenuhi tuntutan masa hadapan. Ia merangkumi 4K dan 1N yang mana 4K itu merujuk kepada komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif, manakala 1N pula merujuk kepada nilai dan etika. Sebenarnya elemen tersebut bukanlah sesuatu yang asing dalam kerja buat guru di sekolah, cuma dalam PAK21 ini penekanan terhadap elemen-elemen ini disarankan digunakan secara meluas dan menyeluruh.

     Persoalan yang seterusnya, bila dan bagaimana menggunakan elemen 4K dan 1N dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap kali admin ke sekolah untuk bertemu dengan guru-guru, admin selalu berkongsi tentang bila dan bagaimana 4K dan 1N ini boleh memaksimakan pembelajaran murid. Melalui aktiviti, murid berpeluang untuk berkomunikasi, berkolaboratif, dan berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan tugasan. Dalam dalam usaha menyelesaikan tugasan, murid perlu selalu diingatkan tentang nilai dan etika yang perlu diutamakan. Akhirnya, mereka bukan sahaja berilmu, berani, bertoleransi malah melahirkan generasi yang berprinsip. Admin bercadang untuk terus membuat perkongsian seperti itu di sini pada paparan-paparan yang akan datang sebagai satu bentuk perkongsian untuk menambah baik pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di bilik darjah. 
Sumber: https://eslkidsgames.com/wp-content/uploads/2013/10/Teacher-quotes-the-future.jpg
     Perancangan yang baik akan memperlihatkan hasil yang baik. Pepatah Inggeris ada menyatakan "If you fail to plan, you plan to fail", yang membawa maksud, sekiranya kita gagal merancang, kita sebenarnya merancang untuk gagal. Oleh sebab itu, guru disarankan untuk merancang PdPc mereka sehari sebelum hari kejadian. Apa yang perlu dilakukan ialah perancangan yang baik, yang merangkum objektif pembelajaran (OPEM) dan kriteria kejayaan (KK), aktiviti-aktiviti yang mengambilkira pembezaan, pengajaran yang berasaskan aktiviti yang berpusatkan murid, pentaksiran lisan dan penulisan yang akan akan dibuat dalam kelas, dan juga membuat refleksi kepada PdPc yang sebelum ini supaya boleh dibuat penambahbaikan dari segi strategi, pendekatan, kaedah atau teknik.  Perancangan perlu realistik dan pengurusan masa perlu diambilkira supaya pengajaran menjadi berkesan dan bermakna. Seorang rakan Ph.D. admin berkongsi pendapat berkenaan pegurusan masa, "you have to be a good self manager, then only you can be a good time manager", ini membawa maksud sekiranya kita boleh mengurus diri kita dengan baik, maka kita dapat mengurus masa dengan yang baik. Segalanya bermula dengan diri, ini pesanan untuk diri admin juga.

Terima kasih.

#sharingiscaring
#caringisloving

3 comments:

  1. Satu kupasan yg sangat baik bagi menjentik minda kita untuk terus mara kehadapan meningkatkan mutu pendidikan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, cikgu atas ulasan yang diberi. Semoga sama-sama beroleh manfaat daripadanya. Selamat maju jaya!

      Delete
  2. Terima kasih atas perkongsian ilmu

    ReplyDelete